Wallpaper Dinding Dapur Saya

Wallpaper Dinding Dapur Saya

Wednesday 5 November 2014

Sayur Terung Campur dan Ikan Cencaru Masak Lemak Kerisik

Inilah lauk yang saya masak pada Sabtu lepas untuk makan tengahari. Agak kelam-kabut juga kerana ingin mengejar masa balik ke Ipoh bersama encik suami, untuk melawat mak mertua yang semakin uzur... Masa tu juga, mak saya sendiri sudah 2 hari demam akibat sakit gigi. Semoga mak dan mak mertua saya cepat sembuh ye!!!

Pagi semalam, mak sudah pun ke klinik gigi untuk mencabut gigi. Itu sajalah ubatnya!

Sayur Terung Campur
Bahan²nya

♠ 2 biji terung panjang 
♠ 1 biji carrot 
♠ Sedikit brokoli 
♠ 1 keping fish cake 
♠ 1 biji cili merah 
♠ 2 biji bawang merah/1 biji bawang besar yg sederhana besarnya 
♠ 1 ulas bawang putih (kalau kecik, bubuh 2) 
♠ Sedikit air, garam dan gula secukup rasa (saya tidak menggunakan serbuk perasa kerana ia 
♠ Minyak untuk menumis dan sedikit minyak zaiton 

Cara² Membuatnya

Potong terung, carrot dan brokoli mengikut citarasa. Sila hiris fish cake, cili merah, bawang merah/besar dan juga bawang putih. Ketepikan.

Panaskan minyak untuk menggoreng terung tadi. Campurkan 2 sudu besar minyak zaiton ke dalam minyak berkenaan. Sila goreng sehingga agak kekuningan. Angkat dan ketepikan. Seterusnya sila tumis cili merah, fish cake dan bawang-bawang tadi bersama-sama. Bila naik bau dan agak kekuningan, masukkan carrot. Masak sebentar. Jika kering sila masukkan sedikit air. Kemudian bila ia hampir separuh masak, jatuhkan pula brokoli (jangan jatuhkan atas lantai sudah! Hahaha). Perasakan dengan gula dan garam. Sila kacau lagi. Akhir sekali jatuhkan terung² yang telah digoreng pada awal sesi tadi. Gaul rata, angkat ke dalam pinggan dan hidangkan.

Ikan Cencaru Masak Lemak Kerisik

Resepi asal saya perolehkan di sini. Tapi saya ubah ia agar menjadi style saya sendiri..heeee..

Bahan²nya

♠ 4 ekor ikan cencaru-sederhana besar (sila potong 2, gaulkan dengan garam dan kunyit)
♠ 6@7 biji bawang merah
♠ 3 ulas bawang putih
♠ Sedikit halia
♠ Kunyit hidup sebesar ibu jari
♠ 2 batang serai (hiris nipis)
♠ 3 sudu makan kerisik (kalau boleh, buat kerisik sendiri. Yang beli punya kadang² rasa perat dan
   maung baunya)
♠ 4@5 biji cili padi
♠ 4 biji buah keras
♠ 2 sudu teh biji ketumbar
♠ 1 sudu teh jintan manis
♠ 1 sudu teh jintan putih
♠ Sedikit serbuk lada hitam (kasar)
♠ 2@3 biji cili hijau (belah 2, jangan putus)
♠ Santan kotak (kecil)
♠ 2 keping asam gelugor (asam keping)
♠ Air secukupnya
♠ Garam dan gula secukup rasa
♠ Minyak untuk menumis


Cara² Membuatnya

Sila goreng ikan tadi separuh masak. Angkat dan ketepikan. Sementara itu, rendamkan biji ketumbar dan jintan² tadi untuk beberapa minit ke dalam cawan yang berisi sedikit air panas. Tujuannya ialah untuk melembutkan ia sebelum ditumbuk. Kemudian, toskan.

Sila tumbuk biji ketumbar, jintan manis dan putih, serai, cili padi, buah keras, bawang putih dan merah, halia dan juga kunyit bersama-sama. Ketepikan.

Panaskan minyak untuk menumis bahan² yang telah ditumbuk tadi. Sila tumis hingga naik bau dan agak garing. Setelah itu, masukkan santan kotak tadi, serta air secukupnya. Air sila agak-agak nak banyak mana dan pekat mana kuahnya. Sentiasa kacau kuah tersebut, kemudian masukkan kerisik, asam keping, gula dan garam. Seterusnya, masukkan cili hijau dan juga serbuk lada hitam. Kacau-kacaukan ia sehingga mendidih. Apabila kuahnya telah mendidih, masukkan ikan cencaru yang telah digoreng tadi. Setelah mesra, bolehlah ditutupkan apinya....

2 comments: